KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadang untuk tidak lagi mempamerkan wanita berpakaian mencolok mata dalam acara sukan permotoran seperti yang berlangsung di Sepang pada awal November ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, perkara itu bercanggah dengan ajaran Islam serta rukun negara kelima.
“Saya ingin membangkitkan selain acara baik yang dilaksanakan, ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita buat penambahbaikan.
“Ia berkaitan dengan isu tradisi memperagakan model wanita seksi yang mencolok mata yang ada di sepanjang acara tersebut. Ia bercanggah dengan ajaran Islam serta bercanggah dengan rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.
“Sangat tidak patut sukan permotoran yang sinonim diminati oleh lelaki dan juga pelbagai lapisan masyarakat disajikan dengan tradisi sebegitu. Malah ramai pengunjung yang merungut tentang perkara tersebut,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang turut mencadangkan kepada KBS untuk merujuk sukan perlumbaan Formula 1 (F1) yang tidak lagi memberikan arak ketika berada di podium.
“Jadi, saya mohon KBS dapat mengambil kira pandangan ini seperti mana yang kita buat sebelum ini. Kalau kita lihat pada kategori F1, sebelum ini ada acara arak diberikan atas podium.
“Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat penyerahan itu tidak lagi diberikan. Ini satu perkara yang baik yang boleh diamalkan dalam negara kita khususnya dalam isu wanita mencolok mata,” katanya. – UTUSAN