KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan sistem pelaporan berpusat bagi membolehkan mana-mana pihak khususnya wanita dan kanak-kanak yang terdedah kepada eksploitasi serta ajaran sesat, membuat aduan terus kepada pihak berkuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut adalah satu daripada penambahbaikan dalam gerak kerja bagi menangani kes seumpamanya susulan pendedahan kes GISB Holdings (GISBH).
Kata beliau, Jakim turut memperkasakan penyelarasan tindakan penguatkuasaan melalui jawatankuasa sedia ada dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan juga agensi berkaitan di peringkat Persekutuan antaranya Jawatankuasa Pemandu Ajaran Sesat (Japas).
Jelasnya, ia bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat diselaraskan bersama setiap negeri dengan lebih mantap.
“Jakim menyedari terdapat keperluan membuat penambahbaikan dalam gerak kerja bagi menangani isu-isu seumpama kes GISBH dan isu-isu berkaitan ajaran sesat di negara ini.
“Bagi kes ini, siasatan mendapati terdapat kes berkaitan eksploitasi kanak-kanak dan wanita yang didedahkan baru-baru ini menimbulkan keperluan untuk penambahbaikan segera dalam prosedur operasi standard (SOP) pelaporan kes seumpama ini.
“Jakim akan membangunkan sistem pelaporan berpusat yang membolehkan mana-mana pihak melaporkan kes secara terus kepada pihak berkuasa dengan tindak balas segera,” katanya semasa Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang memintanya menyatakan bagaimana kerajaan berhasrat untuk memperkukuh SOP pelaporan agar setiap laporan diterima akan diambil tindakan segera.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, penyelarasan aduan juga sudah dilaksanakan secara strategik antara Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.
Namun katanya, wujud keperluan untuk petugas barisan hadapan diberi latihan khas untuk mengenali tanda-tanda eksploitasi selain kerjasama antara agensi penguatkuasa ditingkatkan untuk tindakan lebih pantas.
“Langkah-langkah ini penting bagi memastikan setiap laporan yang diterima mendapat perhatian segera demi melindungi kanak kanak, wanita dan semua yang sering terdedah kepada pelbagai ancaman dan eksploitasi,” jelasnya.-UTUSAN