KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengemukakan bukti berhubung dakwaan penemuan wang tunai sebanyak RM94 juta di kediaman seorang bekas Menteri atau membuat permohonan maaf yang melibatkan pemimpin DAP.
Beliau mengeluarkan arahan tersebut selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membentangkan usul untuk merujuk Awang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan bersifat tuduhan yang dianggap mengelirukan dewan.
“Saya tidak pasti sama ada Pendang ada bukti-bukti lain selain apa dinyatakan seperti termaktub dalam surat ditulis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada saya.
“Oleh kerana Pendang tiada di sini, saya mohon Ketua Whip untuk maklumkan kepada Pendang, bahawa ada dua pilihan.
“Pilihan pertama, dia hadir untuk menjelaskan, sekiranya ada bukti menunjukkan ini adalah bukti dan tunjukkan SPRM juga salah serta siasatan telah dibuat. Sekiranya tidak, memohon maaf sahaja sudah memadai. Saya rasa itu adalah yang terbaik, terpulang kepada dia,” katanya selepas selesai soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Jelutong akan bekerjasama mencari penyelesaian dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada dewan.
Mengulas lanjut, Johari berkata, salinan kenyataan yang diterima daripada SPRM menjelaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung penemuan wang tunai RM94 juta di kediaman bekas Menteri seperti yang didakwa oleh Awang
“Saya meneliti hansard pada 4 November lalu dan mendapati bahawa Pendang mungkin telah terkhilaf apabila menyebut perkara tersebut sebanyak tiga kali. Saya akan rujuk Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat dalam membuat keputusan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua ahli Parlimen agar berhati-hati menyatakan fakta ketika bagi mengelakkan ia dianggap sebagai tuduhan.-UTUSAN