KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh susulan kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mengenai isu penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ketika membangkitkan perkara itu melahirkan rasa kecewa dan terkejut berhubung kenyataan King Sing yang mendakwa tindakan DBKL itu akan mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing pelancongan negara.
“Ini kenyataan tidak benar dan memalukan, sebagai Menteri Pelancongan yang sepatutnya (King Sing) mengangkat budaya kita. Tidak usahlah menteri memetik agenda perkauman kerana sebenarnya menteri sendiri yang membakar 3R dari dalam dan luar negara dan hanya untuk halalkan apa yang tidak dipatuhi undang-undang. Ini sangat tidak betul,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tindakan tersebut menyebabkan dua ahli pemimpin DAP iaitu Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin bangun untuk mencelah sebagai tanda tidak setuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Mas Ermieyati.
Terdahulu, Yu Hui dalam sesi perbahasannya menyatakan sokongan terhadap kenyataan menteri dengan berkata, Malaysia perlu menjadi destinasi pelancong dengan mempromosi kepelbagaian masyarakat yang wujud berbilang bangsa, sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Mas Ermieyati yang kecewa dengan respon Yu Hui menepis kenyataan itu dengan menegaskan, tidak ada masalah sekalipun untuk terus mengekalkan identiti dan memartabatkan bahasa kebangsaan seperti yang dibuat sejak dahulu lagi.
“Kenyataan Menteri Pelancongan ini sangat bahaya kerana merendahkan pelancong negara China. Tengok Thailand, Indonesia, pelancong datang tetapi mereka tetap menggunakan bahasa mereka, tetapi di Malaysia nak buat begitu? Memalukan.
“Pelancong China tidak hairan pun dan dia tetap masuk ke kedai-kedai, mereka masih lagi boleh melawat,” katanya yang terus mengundang kemarahan kedua-dua pemimpin DAP itu.
Chong kemudiannya bangun membuat standing order 36 (6) dengan menjelaskan menerusi garis panduan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) penggunaan bahasa Cina dan Tamil juga dibenarkan, namun tetap perlu mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Antara ahli parlimen lain yang turut bangkit mempertahankan Mas Ermieyati adalah Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga menggunakan peraturan 47 (2) terhadap Chong yang sering mengganggu wakil rakyat lain ketika sedang berbahas.
Minggu lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Operasi itu membabitkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis. – UTUSAN