PARLIMEN: Hospital kerajaan guna AI untuk kesan kanser

PARLIMEN: Hospital kerajaan guna AI untuk kesan kanser

DZULKEFLY Ahmad - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan penilaian penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk digunakan dalam pengesanan penyakit kanser di hospital awam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, teknologi AI mempunyai potensi besar dalam mempertingkatkan lagi keupayaan sistem penjagaan kesihatan terutama dalam aspek diagnosis dan pengesanan awal penyakit seperti kanser.

Bagaimanapun, kata beliau, manfaat dan potensi ini perlu dinilai dengan teliti untuk memastikan teknologi AI benar-benar memberi kesan positif dan selamat digunakan dalam sistem kesihatan di negara ini.

“Bahagian Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia (MaHTAS), seksyen yang berada di bawah Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM sudah menjalankan beberapa penilaian teknologi yang melibatkan teknologi AI bagi maksud membantu pengesanan kanser,” katanya menerusi lalui jawapan bertulis bagi sesi jawab lisan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Wong Chen (PH-Subang) yang memintanya menyatakan sama ada kementerian sedang mempertimbangkan pelaksanaan AI dalam pengesanan kanser.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, antara kajian yang sudah dijalankan oleh MaHTAS adalah penilaian AI untuk saringan kanser paru-paru.

Jelasnya, dapatan kajian menunjukkan penggunaan algoritma AI meningkatkan sensitiviti dan menurunkan kadar keputusan positif palsu terutama dalam kalangan pakar perubatan radiologi yang lebih junior.

“Kajian ini turut mencadangkan teknologi AI dapat menjadi ‘mata kedua’ untuk membantu pengesanan nodul paru-paru dengan lebih tepat dan lebih awal.

“Pada masa ini, pengujian di peringkat kajian lapangan dan penggunaannya secara lebih menyeluruh telah pun bermula di Institut Kanser Negara (IKN) dan seterusnya disusuli di Hospital Cyberjaya, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, kajian mengenai penilaian AI untuk saringan kanser payudara turut dilakukan oleh MaHTAS iaitu melalui mammogram.

“Walaupun dapatan awal menunjukkan potensi AI dalam membantu saringan, bukti yang tersedia masih lagi terhad.

“Kajian lanjut masih diperlukan bagi memastikan manfaat dan potensi teknologi AI sebagai alat tambahan bagi pengesanan dan diagnosis kanser payudara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penilaian AI untuk saringan kanser serviks menerusi penggunaan teknologi pengimejan medikal masih memerlukan penyelidikan dan kajian lanjut kerana bukti saintifik untuk menyokong keberkesanan masih lagi terhad.

Tambahnya, MaHTAS turut menjalankan penilaian terhadap teknologi lain berkaitan AI seperti dalam kes pengesanan awal penyakit tuberkulosis menggunakan sinar-X dada dan penggunaan aplikasi ultrasound mudah alih dengan integrasi teknologi tersebut.

“KKM sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam pengesanan penyakit khususnya kanser, di hospital awam, selagi mana teknologi tersebut terbukti selamat, berkesan, dan kos efektif,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya