KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mengatakan ada orang ingin dilihat lebih baik daripada Nabi Muhammad.
Ahli Parlimen Marang itu tidak menyebut nama Anwar secara khusus, namun beliau menghalakan kenyataannya ke atas ‘orang’ yang cuba menunjukkan kebaikan dengan menolak gaji.
“Allah memperuntukkan 20 peratus kepada Nabi Muhammad. Ada peruntukan untuk Nabi dan keluarganya tetapi Baginda menggunakannya untuk bantu dan mendahulukan orang lain (seperti) orang kawasan pedalaman yang memerlukan bantuan serta orang musafir.
“Namun ada orang yang mahu tunjuk lebih daripada Rasulullah apabila tidak mahu menerima gaji. Itu cerita lainlah,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, bahawa dia tidak akan mengambil gaji untuk jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sejak beliau dilantik pada 2022.
Anwar turut memaklumkan akan memulangkan elaun yang diterima selaku pengerusi Khazanah Nasional dan mendakwa beliau tidak tahu ada menerimanya.
Oktober lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mempersoalkan keputusan Ahli Parlimen Tambun itu dengan berkata seorang rasul pun diberikan ‘peruntukan’ oleh Allah. – UTUSAN