KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Kerajaan mengkritik Unit Kawal Selia Padi dan Beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kegagalan memastikan keterjaminan bekalan beras tempatan di pasaran.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, kerajaan telah berbelanja berbilion ringgit pada Belanjawan 2024 tetapi soal keterjaminan makanan masih tidak selesai.
Beliau berkata, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang memberikan kuasa besar kepada unit tersebut untuk mengawal selia industri beras, namun sehingga kini masalah masih tidak dapat diselesaikan.
“Kita jadi kerajaan bukan baru dua bulan, bukan baru dua minggu tetapi sudah dua tahun namun masih tidak selesai masalah ini. Malu saya.
“Takkan dua tahun selepas pandemik COVID-19, masalah ini masih belum selesai? Adakah kita perlu menunggu sehingga 20 tahun atau dua penggal pilihan raya lagi untuk melihat isu ini diselesaikan?”
“Jadi, saya berharap, jika soal asas seperti bekalan makanan dan beras pun kerajaan tidak mampu selesaikan, apa makna belanjawan bernilai ratusan bilion ringgit yang kita luluskan?” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Hassan berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Hassan juga menekankan bahawa harga beras putih tempatan yang diwartakan pada kadar RM2.60 sekilogram di atas kertas tidak relevan jika bekalan tidak wujud.
“Apa maknanya harga murah di atas kertas, tetapi di pasaran tiada? Yang ada hanyalah beras import yang jauh lebih mahal,” katanya.
Hassan turut menzahirkan kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan beras import yang dijual di pasaran sebenarnya dicampur dengan beras tempatan.
“Ada persepsi bahawa beras yang dijual bukan sepenuhnya beras import, tetapi campuran dengan beras tempatan. Saya minta penjelasan, benar atau tidak perkara ini?
“Petang semalam saya turun ke kawasan. Yang saya lihat hanyalah beras import. Beras putih tempatan hampir tiada di pasaran, walaupun kita tahu petani dan pesawah menghasilkan padi,” katanya. – UTUSAN