PARLIMEN: Akta Tahanan Rumah hanya terpakai kepada individu menunggu sabitan

PARLIMEN: Akta Tahanan Rumah hanya terpakai kepada individu menunggu sabitan

IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akta Tahanan Rumah hanya terpakai kepada individu yang dikenakan perintah tahanan reman sementara menunggu perbicaraan mahkamah sekiranya diluluskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, akta tersebut tidak terpakai kepada individu yang ditahan reman kerana melakukan kesalahan termasuk jenayah yang memperuntukkan hukuman mati dan penjara seumur hidup.

Malah, kata beliau, tahanan reman yang didakwa di bawah kesalahan serius yang membawa pemenjaraan 10 tahun ke atas seperti keganasan rumah tangga dan kanak-kanak, sebatan mandatori, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bab 6 Kanun Keseksaan juga tidak layak untuk ditahan di rumah.

Jelasnya, setakat semalam, terdapat 87,229 prospek termasuk 28,000 individu yang ditahan reman di penjara seluruh negara, walaupun penjara hanya mampu memuatkan 74,000 orang.

“Hasrat kami adalah memberi kuasa kepada mahkamah untuk mempertimbang dan memerintahkan yang ditahan reman ditahan di rumah dan dipakaikan peranti hingga tarikh perbicaraan.

“Kelebihan daripada akta baharu ini penjara akan jadi lebih kondusif kerana tidak terlalu padat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, akta baharu itu tidak terpakai kepada pesalah yang disabitkan kesalahan melainkan jika ada gesaan daripada ahli Dewan ketika ia dibentangkan nanti.

“Melainkan semasa kita bentang nanti ahli Dewan Rakyat merasakan yang sabitan mesti dipertimbangkan, jadi kita buat keputusan semasa itu.

“Buat masa sekarang, niat kami adalah untuk kategori yang mahkamah memerintahkan tahanan reman sementara menunggu tarikh perbericaan,” jelasnya.

Tambahnya, Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah sudah mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan.

“KDN akan bincang dengan Peguam Negara untuk bangunkan kerangka apakah maksud Akta Tahanan Rumah. KDN (juga) akan adakan libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya