KUALA LUMPUR: Sebanyak 182 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu 3R (agama, bangsa dan Institusi Diraja).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah kertas siasatan tersebut adalah sejak Bukit Aman menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu tersebut pada Mac 2023.
Kata beliau, sebanyak 138 kertas siasatan sudah diselesaikan dan bakinya berjumlah 44 kes, masih disiasat.
“(Antaranya adalah) dia kata ‘Agong, Sultan, Raja baca ya…jangan jadi anti hadis’. Itu penghinaan yang sangat jelek.
“Ada juga heret semua kaum, misalnya dia sebut ‘Amanat kepada pejuang Islam, jika memfitnah itu boleh menumbangkan musuh maka fitnahlah (dan) jika memutuskan silaturahim boleh menumbangkan musuh Islam (maka) putuslah (serta) jika membunuh boleh menumbangkan musuh Islam maka bunuhlah’.
“Kes seperti ini PDRM kena siasat, ia semakin menjadi-jadi. Jadi, apabila keadaan seperti ini berlaku, pihak polis (kena) buka siasatan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk tidak memainkan isu 3R bagi meredakan suhu negara.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin menegaskan, isu kibar bendera China sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
“Yang kibar bendera China pun kita siasat, yang kedua, bukan siasat sebab dia kibar bendera (tetapi) sebab dia buat perhimpunan. Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, ada tertibnya, tanggungjawab penganjur dan peserta serta polis.
“Siasat sebab itu, bukan sebab dia kibar bendera. Tentang kibar bendera China itu, memang siasatan ada dibuat. Memang ada peruntukan tertentu dalam Kanun Keseksaan yang tidak membolehkan perbuatan itu,” jelasnya. – UTUSAN