PETALING JAYA: Lima pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang didakwa terbabit kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), akan dipindahkan ke hospital lain susulan tempoh tahan kerja berakhir pada 16 Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu hanya sementara menunggu hasil siasatan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata beliau, mereka kembali bertugas berikutan tempoh tahan kerja berakhir pada 16 Oktober lalu.
“Tindakan tahan kerja selama 30 hari dikenakan terhadap lima pegawai tersebut bawah peruntukan Peraturan 43, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkuat kuasa 17 September lalu, bagi memudah cara urusan siasatan.
“Skop fungsi dan pengoperasian jabatan ortopedik di hospital tersebut diteruskan seperti biasa bagi menyampaikan perkhidmatan kepakaran ortopedik kepada pesakit dengan dibantu oleh pegawai dari hospital berhampiran,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta maklumat terkini mengenai status pegawai terbabit serta sistem pengurusan pada masa ini.
Terdahulu, 33 individu termasuk tiga orang doktor pakar tulang ditahan reman antara sehari sehingga tiga hari bagi membantu siasatan kes kartel Perkeso itu.
Selain tiga doktor berkenaan, 30 individu terdiri daripada 19 pemohon tuntutan, lapan ejen serta tiga orang runner turut ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dipercayai menerusi kartel berkenaan, seorang doktor boleh mendapat imbuhan sehingga RM10,000 daripada seorang pemohon, namun ia bergantung kepada jumlah tuntutan.-UTUSAN