PARLIMEN: 32 juta pelancong masuk Malaysia melalui KLIA 

PARLIMEN: 32 juta pelancong masuk Malaysia melalui KLIA 

SAIFUDDIN Nasution Ismail - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 32 juta pengembara daripada luar negara memasuki Malaysia atas pelbagai tujuan melalui melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai lapan juta pengembara memasuki negara melalui KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 2.7 juta rakyat Malaysia pulang ke negara melalui KLIA untuk tempoh yang sama.

Kata beliau, KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 mempunyai 10 autogate masing-masing yang pada asalnya penggunaan itu untuk rakyat Malaysia sahaja tetapi kini dibuka kepada pelancong dari 63 buah negara lain.

Menurutnya, sebayak 101 kaunter manual dan 20 autogate di KLIA Terminal 1 serta Terminal 2 dibuka pada waktu puncak iaitu antara 11 pagi hingga 9 malam.

“Pada waktu puncak ini kita pastikan semuanya dibuka supaya tidak ada kesulitan di peringkat pengembara, sama ada rakyat kita atau rakyat luar,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) yang memintanya menyatakan apakah inisiatif dan langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan oleh kementerian bagi menangani kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KLIA.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, inisiatif untuk mengurangkan waktu menunggu sudah menjadi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) sejak Mei lalu dan dipantau oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Jadi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mewujudkan kerangka Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QOS) dan pelaporan prestasi diukur menggunakan sistem Smart Q yang berasaskan teknologi Internet of Thing dari Xovis AG.

“Jadi sistem ini dia gunakan teknologi infrared dan dia mengesan dan menganalisa pergerakan penumpang termasuk bagi mengukur tempoh waktu menunggu. Berdasarkan kepada prestasi ini, lapangan terbang kita mencapai sasaran tempoh menunggu yang pendek.

“Melainkan dalam sebulan akan berlaku lima atau enam hari di mana ketibaan pesawat body itu lari daripada jadual, jadi dia selang dua ke tiga minit. Itu menyebabkan tempoh untuk kita melakukan Imigresen clearance mengambil sehingga 49 minit.

“Sedangkan sasaran kita kurang 25 minit. Jadi dalam sebulan itu ada lima hingga enam insiden kejadian, kita akui kita tak nafikan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, 25 hari berikutnya menyaksikan tempoh pelepasan adalah 85 peratus daripada penumpang yang diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 25 minit untuk ketibaan.

“Jadi saya mohon juga untuk rakan rakan Ahli Yang Berhormat memahami bahawa bila insiden lima hingga enam kejadian sebulan itu, itu kadang-kadang cloud 25 hari lain yang sebenarnya tempoh kenderaan itu jauh lebih singkat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution memaklumkan seramai 83.4 juta warga asing yang melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan seramai 34.5 juta melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dari 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

“Trend peningkatannya adalah 17 peratus setiap tahun. Untuk itu, daripada angka itu mengesahkan bahawa purata setiap hari yang melalui laluan darat paling sibuk ini ialah 400,000 setiap hari.

“Ada 52 inisiatif jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang telah pun dilaksanakan, yang sedang dan yang akan dilaksanakan. 52 inisiatif ini hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“52 inisiatif ini merangkumi aspek naik taraf infrastruktur dan kemudahan di kedua-dua kompleks tersebut, pengurusan sumber manusia, naik taraf automated check point and border system, kita melaksanakan kajian kebolehlaksanaan, pengurusan pelan komunikasi serta pengurusan dan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan memuktamadkan perolehan bagi penggunaan kod QR.

Bermaksud bagi dua mod pengangkutan yang kita buat ‘Proof of Concept; sebelum ini iaitu penumpang bas dan juga penunggang motosikal menggunakan kod QR, tak perlu lagi stem pasport.

“Ianya berlangsung antara 1 Jun hingga 30 November ini. Jadi pada tahun kewangan ini juga kita akan muktamadkan pelantikan vendor untuk maksud perolehan. Untuk itu, bajet sebesar RM20 juta telah pun disediakan bagi maksud penggunaan ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya