KUALA LUMPUR: Sejumlah 2,536 golongan sasar membabitkan miskin tegar, miskin dan B40, diluluskan kerajaan bagi menyertai tiga inisiatif di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), setakat Oktober lalu.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan penyertaan pelbagai kaum menerusi program IPR.
Katanya, terdapat peserta yang berjaya meraih hasil jualan sehingga RM5,000 setiap bulan melalui operasi mesin layan diri dalam Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN).
“Sehingga kini terdapat tiga inisiatif rintis yang dilaksanakan di bawah IPR iaitu Inisiatif Usahawan Tani, IPR-INTAN, IPR-INSAN dan Inisiatif Operator Perkhidmatan, IPR-IKHSAN.
“Daripada 2,536 golongan sasar itu, 79.2 peratus peserta adalah daripada masyarakat Melayu, etnik Sabah dan Sarawak (16.2 peratus), India (2.2 peratus), masing-masing satu peratus bagi Cina dan Orang Asli serta 0.4 peratus masyarakat Siam.
“Kerajaan bertekad meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang sosioekonomi. Dalam hubungan ini, Kementerian Ekonomi sedang mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan penyertaan pelbagai kaum ke dalam program IPR,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin mengetahui pelaksanaan IPR untuk membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat.
Hanifah berkata, melalui IPR-INTAN, sejumlah 1,485 peserta diluluskan pelaksanaan program di 16 lokasi berkeluasan 1,306 ekar (528 hektar) dengan pencapaian hasil yang memberangsangkan.
“Sebagai contoh, peserta yang mengusahakan tanaman cili fertigasi dan terung fertigasi di Ulu Kinta, Perak meraih pendapatan bersih bulanan RM2,000.
“Kedua, IPR-INSAN, sehingga 15 Oktober lalu, seramai 161 peserta mendapat manfaat daripada pelaksanaan program dengan purata jualan harian antara RM90 hingga RM400 malah terdapat peserta yang mengoperasikan mesin layan diri IPR-INSAN di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sri Iskandar, Perak berjaya meraih hasil jualan bulanan sehingga RM5,000 ringgit.
“Bagi IPR-IKHSAN pula, sejumlah 890 peserta diluluskan pelaksanaan program di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN