KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti sebanyak 164 undang-undang pra-1969 bagi melihat keperluan sama ada ia perlu disemak semula, dikekal atau memerlukan tindakan kajian lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia berdasarkan hasil kumpul semak status terhadap sejumlah 3,404 undang-undang pra-1969.
Kata beliau, sebanyak 84 dari 164 undang-undang itu disenaraikan untuk disemak di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 (Akta 1) atau dikekalkan bagi maksud pemberitahuan Seksyen 11 Akta 1.
Selain itu, jelasnya, sebanyak 80 undang-undang lain puka disenaraikan bagi tindakan kajian lanjut Jabatan Peguam Negara.
“Sebanyak 1,486 undang-undang dalam kategori ‘had its effect/ spent/cease to operate/expired/undang-undang pindaan/ undang-undang pemansuhan/ bidang kuasa Negeri atau Singapura.
“Undang-undang dan akta lapuk akan dimansuhkan atau digantikan dengan yang baharu tertakluk kepada keputusan dasar kementerian, jabatan atau agensi yang bertanggungjawab,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, mengulas hak berkaitan isu rasuah, Azalina berkata, satu lagi platform pada peringkat tertinggi negara dalam usaha perubahan polisi untuk menangani isu rasuah nasional iaitu Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).
Jelasnya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dianggotai oleh pemimpin-pemimpin utama negara.
“JKKTN berperanan penting bagi memastikan tindakan segera, berfokus dan lebih berkesan dapat diambil dalam menangani isu-isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan wang kerajaan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha meluluskan peruntukan undang-undang baharu, Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu adakah mencerminkan ketegasan kerajaan.
Beliau berkata, peruntukan undang-undang yang juga dikenali sebagai liabiliti korporat itu ditambah untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik dalam organisasi, bukan bertujuan untuk menghukum organisasi komersial semata-mata.
“Penambahan peruntukan ini mencerminkan pendirian tegas kerajaan dalam usaha membanteras rasuah pada semua peringkat,” katanya.-UTUSAN