KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 buah negeri bersetuju jam dan hari bekerja bagi guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) diselaras dan ditingkatkan bagi terus memelihara kebajikan kumpulan guru tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa berusaha memelihara dan meningkatkan kebajikan 35,000 guru KAFA.
Kata beliau, Jakim sudah selesai melaksanakan sesi libat urus bersama Agensi Pelaksana KAFA Negeri dan Kementerian Pendidikan (KPM) mulai 2022 hingga tahun ini.
“13 buah negeri telah bersetuju supaya jam dan hari bekerja guru KAFA diselaras dan ditingkatkan demi mewujudkan perjawatan guru KAFA.
“Hanya 47 peratus ketersediaan premis yang bersesuaian ke arah lima hari persekolahan KAFA,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Na’im berkata, projek rintis KAFA Perdana akan dilaksanakan selaras usaha mempertimbang pemberian jawatan tetap dan berpencen kepada guru-guru tersebut.
“Pelaksanaan rintis KAFA Perdana akan dilaksanakan bagi membolehkan jam dan hari bekerja guru ditingkatkan.
“Justeru, perbincangan selanjutnya diadakan bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) bagi permohonan rayuan bayaran elaun kepada guru KAFA rintis tertakluk kepada keadaan semasa kewangan negara dan kelulusan pihak yang berkaitan,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta melalui peruntukan khas bantuan selenggara dan naik taraf Institusi Pendidikan Islam (IPI).
“Melalui Garis Panduan Peruntukan Khas ini, kategori IPI yang layak memohon bantuan ini adalah institusi pondok swasta, institusi tahfiz swasta, sekolah agama rakyat, sekolah agama swasta, sekolah agama negeri, sekolah menengah agama negeri dan KAFA di premis bukan kerajaan.
“Skop peruntukan bagi bantuan peruntukan khas ini pula meliputi keselamatan, selenggara dan naik taraf infrastuktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, selenggara serta naik taraf bangunan dan sistem perpaipan,” katanya.-UTUSAN