PARLIMEN: 1.4 bilion panggilan meragukan disekat

PARLIMEN: 1.4 bilion panggilan meragukan disekat

FAHMI FADZIL/IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 1.4 bilion panggilan yang meragukan atau `scam’ disekat dari tahun 2022 hingga 15 Oktober lalu kerana dibimbangi ia dibuat untuk tujuan menipu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dalam tempoh sama kerajaan turut menyekat lebih 1.2 bilion Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tidak diminta dan menamatkan perkhidmatan 18,184 talian.

Selain itu, kata beliau sekatan akses terhadap 8,080 laman sesawang palsu atau laman phising turut dilakukan.

“Berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMA) daripada agensi penguatkuasaan dan orang awam berhubung isu penipuan dalam talian, sebanyak 53,407 kandungan di platform media sosial telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan dan sebanyak lima laman sesawang sudah disekat dari tahun 2022 sehingga 15 Oktober lalu,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, cabaran dalam membanteras penipuan termasuk isu bidang kuasa memandangkan kebanyakan penipuan adalah bersifat rentas sempadan.

Jelasnya, kerjasama antarabangsa yang berterusan diperlukan  dan peningkatan usaha pendidikan serta kesedaran awam juga penting dalam menangani isu tersebut.

“Pelbagai inisiatif kesedaran dan tadbir urus telah diperkukuhkan di peringkat kerajaan. Antara inisiatif terkini yang dilaksanakan adalah menguatkuasakan larangan terhadap kandungan terlarang dalam SMS pada 1 September lalu. 

“Kandungan terlarang tersebut meliputi kandungan pautan (hyperlink), permohonan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi (callback number),” jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, MCMC menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau penyebaran ajaran sesat melalui platform media sosial.

“MCMC tegas melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan yang dikenal pasti telah melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya