LOS ANGELES: Penyanyi dan bintang program realiti, Paris Hilton memaklumkan dia tidak pernah mengambil suntikan botoks atau melakukan pembedahan kosmetik.
Kata Paris, sebaliknya, wajah awet muda yang dimilikinya pada usia 43 tahun adalah hasil amalan penjagaan kecantikan yang disarankan oleh ibunya, Kathy Hilton sejak usia kecil.
“Saya bangga kerana memiliki kecantikan semula jadi,” katanya.
“Saya elakkan kulit saya daripada terdedah dengan cahaya matahari dan tidak pernah ambil suntikan botoks atau melakukan pembedahan kosmetik,” katanya.
Pendedahan itu dilakukan Paris dalam rancangan podcast, Zach Sang Show, baru-baru ini.
Paris, dalam sesi temu bual itu, berterima kasih kepada ibunya yang banyak berkongsi nasihat tentang penjagaan kulit sejak zaman kanak-kanaknya lagi.
“Ketika saya berusia lapan tahun, ibu selalu menasihatkan supaya saya elakkan cahaya matahari.
“Pada masa yang sama, dia juga berkongsi 10 langkah penjagaan kulit yang saya amalkan sejak usia saya lapan tahun,” ujarnya. – UTUSAN