Pantau lokasi berisiko tanah runtuh - Zahid

Pantau lokasi berisiko tanah runtuh – Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (dua, kiri) bertanya khabar ibu mangsa tragedi tanah runtuh, Ruziah Fuad (dua, kanan) ketika menziarahi keluarga mangsa di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pihak berkenaan memantau lokasi berisiko berlakunya kejadian tanah runtuh terutamanya pada musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu perlu diambil sebagai langkah awal bagi memastikan tragedi tanah runtuh menimpa kediaman penduduk seperti yang terjadi di Kampung Bukit Apit, Ajil, di sini, tidak berulang.

“Kita memberi perhatian berhubung kejadian tanah runtuh ini. Kerajaan akan menghantar pasukan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi menjalankan kajian di kawasan lokasi.

“Kawasan tragedi di sini misalnya, kita melihat terdapat laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan mengundang risiko berlaku runtuhan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Apit, dekat sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam menziarahi keluarga mangsa tragedi tanah runtuh tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutamanya sepanjang tempoh musim MTL.

“Mereka yang berada di kawasan cerun atau di kawasan lereng bukit, gunung dinasihatkan supaya lebih berwaspada. Semua pihak juga harus bersiap-siaga kerana keadaan MTL pada tahun ini lebih buruk berbanding 2014 dulu.

“Keadaan ini bukan berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, malah terjadi di sembilan negeri lain disebabkan faktor pemanasan global dan juga ‘climate change’. Semua kemungkinan boleh berlaku,” ujar beliau.

Terdahulu, media melaporkan dua beradik iaitu Puteri Sajidah Azman,16, dan adiknya Siti Fatimah Azman,13, maut setelah dihempap tanah runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, semalam.

Tragedi tersebut juga turut menyebabkan Uzair Azman,17, cedera dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung, Ajil kira-kira pukul 1 petang tadi.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya