KUALA LUMPUR: Kisah pelayaran Panglima Awang sudah banyak jadikan bahan tulis dalam nakhah Melayu termasuk dijadikan novel dan kini dipentaskan sebagai satu persembahan teater bermula malam ini dan esok di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Teater tersebut yang merupakan idea asal oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ini telah diterbitkan oleh Razali Hussain serta naskhah yang ditulis oleh Anwar Pisang.
Menurut pengarah teater ini, Hazzley Abu Bakar, teater ini bukan sahaja menampilkan elemen sejarah tetapi turut menyampaikan mesej semangat patriotisme serta keberanian dalam menghadapi penjajahan.
Kata beliau, dengan gaya pengarahan yang penuh dramatik dan sinematografi yang mengagumkan, beliau berharap agar teater berkenaan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai sejarah Melayu.
Beliau menjelaskan pelayaran Panglima Awang menyingkap kisah wira Melayu, Panglima Awang, yang tidak banyak diceritakan dalam sejarah Melayu.
Kisah Panglima Awang bermula ketika era penjajahan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, apabila Panglima Awang bersama rakan-rakannya melancarkan pemberontakan gerila demi mempertahankan tanah air daripada penjajah.
Namun, perjuangan mereka membawa Awang kepada detik hitam apabila beliau tertangkap dan dibawa ke Portugal. Dari situ, kisahnya berlanjutan kepada perjalanan epik yang membawanya mengelilingi dunia.
Beliau mengakui bukan mudah mementaskan teater kisah Panglima Awang itu kerana berdepan pelbagai cabaran antaranya kekangan peruntukan yang hanya mendapat pembiayaan daripada Geran Seni Sektor Kebudayaan (GSSK) .
Selain itu pihak produksi turut berdepan sokongan jumlah pelakon yang jumlahnya 45 orang dengan bantuan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan beberapa persatuan silat seperti silat gayung dan silat cekak.
Hazzrey berkata, kekurangan kos menyebabkan pihaknya berdepan cabaran pembinaan set , tetapi mujurlah pelakon yang tidak berkira soal pembayaran manakala pendekatan menggunakan set modular digunakan bagi mengatasi masalah tersebut tanpa menjejaskan jalan cerita.
“Namun saya yakin dengan (kemampuan) pelakon pelakon saya yang memberi komitmen luar biasa bagi menjayakan teater ini, “ ujarnya dalam sidang akhbar selepas sesi pratonton bersama wakil media malam tadi.
Beliau berkata, meskipun tempoh latihan diadakan selama kira-kita tiga minggu sahaja, tetapi pelakon tetap memberi komitmen yang terbaik.
Sementara itu ketika ditanya adakah pihaknya bersedia menerima kritikan selepas persembahan nanti, Hazzrey berkata pihaknya menjangka perkara itu kan berlaku .
Tambahan pula kata beliau banyak versi dan cakap cakap mengenai kisah Panglima Awang yang agak misteri (tergantung) termasuklah yang terkandung dalam buku Sejarah Melayu Sullalatus Saladin .
Namun katanya apa yang penting pementasan tersebut diharap dapat membantu orang ramai khususnya penonton termasuklah golongan muda menghayati dan menginsafi bagaimana orang terdahulu berjuang menentang penjajahan.
Teater yang dipentaskan kira-kira dua jam itu menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Ain Suffia, Md. Hussain, Nur Atikah Shahrudin (Ika Angah Lj), dan Dean Sitara selain bantuan pelakon daripada pelajar UPNM dan beberapa persatuan silat tanah air.
“Menggunakan pelakon dalam kalangan pelajar UPNM dan persatuan silat ini memberi pendedahan kepada mereka tentang kisah sejarah perjuangan menentang penjajahan dan supaya mereka lebih dekat dengan seni persembahan teater, “ ujarnya .
Meskipun masih baharu pelakon pelakon berkenaan tetapi menunjukkan bakat yang boleh digilap dan membantu menghidupkan jalan cerita teater berkenaan.
Teater tersebut mengisahkan cerita epik pelayaran Enrique de Malacca, seorang hamba Melayu pertama yang mengelilingi dunia dengan naskhah yang diadaptasi daripada novel “Panglima Awang” karya Harun Aminurrashid ini telah diolah semula oleh Prof. (Emeritus) Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh dan digarap oleh Anwar Mohd. Zulkifli.
Penulis skrip Anwar Mohd. Zulkifli, mengakui terdapat banyak versi cerita asal Panglima Awang dan bergantung kepada tafsiran penonton berdasarkan kepada sejauh mana pembacaan mereka terhadap kisah berkenaan.’
“Justeru cabarannya besar termasuklah bagaimana mengimbangi kisah sebenar dan fiksyen, “ ujar beliau yang mengakui terpaksa mengolah semula skrip dan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengarah supaya dapat dipentaskan bentuk teater eksperimental meskipun cadangan asalnya dipentaskan sebagai satu persembahan teater bangsawan.
Hazzrey turut mengakui pihaknya menjangka akan ada kritikan tetapi berharap persembahan tetap mampu menarik penonton.
Sementara seorang pelakon utama Md. Husin berkata , dia bukan baharu berlakon tetapi apabila diberikan naskhah, dia mengakui terkejut dan terrasa seperti nak demam tetapi tetap bersemangat mengambil tanggungjawab membawa peranan utama.
Seorang lagi pelakon wanita , Nur Atikah Shahrudin atau Ika berjanji memberi komitmen terbaik menjayakan watak yang diberi kepadanya.
“Saya berjanji memberi yang terbaik sepanjang pementasan meskipun agak letih semasa sesi latihan, “ ujarnya.
Peminat seni teater tanah air dijemput untuk menyaksikan persembahan teater klasik tersebut yang akan dipentaskan bermula malam ini pukul 8.45 malam ini esok pukul 2.45 petang di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.
Tiket-tiket berharga RM15 dewasa dan 10 pelajar. – UTUSAN