KUALA LUMPUR: Bintang Singapura, Roziana Cindy muncul dengan lagu terbaharunya, Paling Sejati sekali gus menjadikannya penyanyi pertama dari negara itu yang berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda.
Menurut Roziana, lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ade itu adalah bukti dedikasinya dalam menghasilkan karya muzik yang mendalam, merangkumi emosi tulus dan pengalaman hidup.
“Dalam melodi yang penuh perasaan ini, setiap liriknya seolah-olah menggambarkan jalinan emosi yang kuat dan ikatan yang tidak tergoyahkan antara dua hati.
Lagu ini mampu membawa pendengar menyelami lautan kasih sayang yang dalam, di mana setiap baitnya mencerminkan pengalaman cinta yang murni dan abadi.
“Selain itu, keindahan liriknya juga mengekspresikan betapa pentingnya menghargai setiap detik dalam sebuah perhubungan, merayakan momen-momen kecil yang membentuk ikatan itu menjadi sesuatu yang luar biasa. Bersyukur dengan cinta dan kasih sayang yang cukup tak membuat sesiapa terluka,” katanya.
Lebih menarik lagi, Roziana yang juga seorang personaliti TV di Singapura itu turut menjadi Penerbit Eksekutif untuk lagu dan muzik video single sulungnya itu.
Dalam masa sama, lagu yang dihasilkan dan diiringi susunan muzik yang indah itu turut dilancarkan di negara ini sebagai usaha menembusi pasaran muzik tempatan.
Paling Sejati menggabungkan elemen balada moden dengan sentuhan nyanyian tenang, memberikan pengalaman audio yang unik kepada pendengar secara tidak langsung menonjolkan keupayaan anak kelahiran Singapura itu untuk membawa emosi dalam setiap bait lirik.
Lebih istimewa lagi, single itu dirakamkan di Jakarta, Indonesia manakala video muzik (MV) menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Yogyakarta demi mempersembahkan latar kesenian yang kaya serta meraikan kerjasama rentas budaya dalam dunia muzik serantau.
Selain berharap lagu itu dapat menyentuh hati pendengar di Malaysia, Rozianan menyifatkan lagu tersebut sebuah karya seni yang memaparkab perpaduan antara budaya Singapura, Malaysia dan Indonesia.
“Kejujuran dan keikhlasan dalam lirik serta melodi lagu ini diharap dapat memberi inspirasi dan menjadi simbol cinta sejati yang boleh dirasai bersama.
“Lagu ini adalah satu karya seni yang merentasi sempadan, memaparkan perpaduan antara budaya Singapura, Malaysia, dan Indonesia, mengukuhkan persaudaraan dan semangat bersama dalam menghargai muzik yang menyentuh jiwa.
“Justeru, saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati semua pendengar dan menjadi inspirasi untuk menghargai kasih sayang dalam hidup. Sejujurnya, lagu Paling Sejati adalah luahan jiwa saya mengenai kepercayaan kepada cinta sejati,” katanya.
Lagu Paling Sejati mula dilancarkan di semua platform muzik digital mulai 22 November ini, diikuti dengan pelancaran video muzik pada 25 November.-UTUSAN