RAUB: Pahang memberikan jaminan kawasan berhutan seluas 2.06 juta hektar yang mewakili 57 peratus keluasan negeri ini akan dijaga dan tidak akan berkurangan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, seluas 1.6 juta hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diuruskan berdasarkan Amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (SFM).
“Kerajaan Negeri juga sudah mewartakan seluas 645,751 hektar ataupun 40 peratus kawasan HSK ini sebagai Hutan Perlindungan yang mana “tidak boleh disentuh apalagi diusik” untuk kerja-kerja pengusahasilan hutan.
“Fakta ini meletakkan Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan dalam kalangan negeri-negeri di Semenanjung,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 Peringkat Negeri Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, penggunaan teknologi seperti satelit, dron, dan sistem pengesanan jarak jauh kini membantu dalam memantau kawasan hutan dan mencegah pencerobohan secara lebih efisien.
“Kecerdasan Buatan (AI) juga membantu jabatan dalam usaha pemantauan sempadan-sempadan hutan yang terletak jauh dan tidak mempunyai akses jalan, kawasan hot spot, sempadan lesen pengusahasilan dan sempadan negeri.
“Teknologi Al juga akan digunakan sepenuhnya dalam penentuan dan penanda sempadan HSK dengan lebih tepat,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyumbangkan hampir RM100 juta hasil kutipan hutan yang turut menyumbang kepada kejayaan kutipan negeri sebanyak RM1.144 bilion sehingga November.
“Saya juga ucapkan terima kasih kerana mereka (JPNP) telah berjaya menjalankan aktiviti-aktiviti penguatkuasa, kutipan kompaun dan ada juga kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah.
“Saya harap usaha ini dapat diteruskan dan keberkesanannya dapat kita lihat apabila hasil daripada Jabatan Perhutanan Negeri dapat ditambah dan aktiviti-aktiviti haram ini didapati semakin hari semakin kurang disebabkan oleh penguatkuasaan yang dijalankan,” katanya. – UTUSAN