Paddy Jewellery: Wanita tidak mengaku tipu lebih RM20,000

Paddy Jewellery: Siti Hajartul mengaku tidak bersalah tipu lebih RM20,000

SITI Hajartul Haini didakwa telah menipu seorang pesara hospital kerajaan dengan memperdayakan mangsa berkait urusan pelaburan emas Paddy Jewellery.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dalam urusan pelaburan emas, enam bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Siti Hajartul Haini, 37, didakwa telah menipu seorang pesara hospital kerajaan, Mohd. Zahid Ibrahim, 50, dengan memperdayakan mangsa berkait urusan pelaburan emas Paddy Jewellery sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM26,750 yang dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat Pawana Sweet milik tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Dang Wangi di sini pada pukul 12.20 tengah hari, 2 Mei lalu.

Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima setahun dan maksima 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan.

“Saya mohon budi bicara mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan kerana saya mempunyai empat orang anak dan suami tidak bekerja. Suami menghidap penyakit darah tinggi dan asma. Saya juga perlu menanggung bapa mertua saya,” kata Siti Hajartul.

Majistret S. Mageswary kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Disember ini bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada 23 Oktober lalu, media melaporkan polis menerima sebanyak 69 laporan polis dengan kegiatan penipuan pelaburan emas ‘PA Jewellery’ dan ‘Paddy Jewellery’ dengan kerugian RM48.5 juta.

Siasatan awal mendedahkan skim pelaburan ini menawarkan lima pakej pelaburan yang berbeza dengan pulangan berdasarkan harga emas semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN