KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi menjelaskan isu yang sedang melanda syarikat berkenaan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah itu dibuat kerana bimbang isu dan kemelut melanda pertubuhan tersebut akan membawa kepada masalah lebih besar iaitu kekurangan baja kepada pesawah.
Jelasnya, PAC sedang menjalankan prosiding berhubung Pengurusan Program Penanaman Padi dan setakat ini sebanyak empat prosiding telah diadakan dengan seramai 12 saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan penjelasan.
“Memandangkan Nafas adalah sebahagian daripada saksi bagi prosiding ini di mana PAC pernah memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Nafas untuk memberi penjelasan dan keterangan pada 26 Mac lalu serta melawat kilang Nafas di Gurun, Kedah pada 22 April lalu.
“Namun, sejak dua minggu lepas, isu Nafas telah menjadi topik hangat dan pertubuhan ini dianggotai 930,000 ahli peladang di seluruh negara.
“Sehubungan itu, PAC telah membuat keputusan untuk memanggil semula Nafas bagi menjelaskan isu yang sedang melanda syarikat berkenaan. Prosiding untuk Nafas akan ditetapkan pada minggu kedua Disember ini,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan ke atas Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Dalam masa sama, beliau juga menegaskan kementeriannya tidak akan masuk campur dalam urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 1 Oktober lalu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin mengumumkan penggantungan Perlembagaan Nafas berkuat kuasa hari sama bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.
Kemudian pada 29 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah KPKM.
Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa PAC, Sim Tze Tzin berkata, isu yang dihadapi Nafas adalah melibatkan masalah tadbir urus selain akan memanggil tiga pihak bagi menuntut penjelasan.
“PAC membuat keputusan untuk memanggil tiga pihak iaitu Ahli Lembaga Pengarah Nafas, pihak pengurusan Nafas termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan pengatur (regulator) iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya. – UTUSAN