GEORGE TOWN : Kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara untuk mencalonkan tiga warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya nyonya, chingay dan tarian singa sebagai UNESCO Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, bagaimanapun pencalonan itu sedang dalam proses penilaian UNESCO dan beberapa siri bengkel diadakan oleh Jabatan Warisan Negara dengan melibatkan penyertaan dari pihak-pihak berkepentingan bagi penyediaan dokumen pencalonan persembahan chingay (pencalonan bersama Malaysia dan Singapura) dan tarian singa (pencalonan bersama Malaysia dan China),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Hon Wai (DAP-Paya Terubong) menjawab soalan Wong Yuee Harng (DAP-Pengkalan Kota) mengenai usaha kerajaan negeri dalam memartabatkan warisan tidak ketara untuk disenaraikan sebagai warisan dunia.
Menurut Hon Wai, kerajaan Negeri melalui Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif telah mengeluarkan surat sokongan untuk pencalonan chingay dan tarian singa kepada Jabatan Warisan Negara.
“Kerajaan negeri menyokong berlangsungnya pameran baju kebaya dan turut menganjurkan pertandingan tarian singa atas tiang antarabangsa setiap tahun di Kepala Batas.
“Kerajaan negeri juga turut mengadakan perarakan chingay tahunan di Georgetown dan juga di Butterworth,” katanya.
Kerajaan negeri melalui Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara turut mengadakan Bengkel Pencalonan Warisan Tidak Ketara untuk Representative List Of The Intangible Culture Heritage Of Humanity bagi membantu pihak-pihak berkepentingan memahami proses dan keperluan dalam penyediaan dokumen pencalonan. – UTUSAN