Ops Murni: Tentera bantu pindah mangsa banjir - Utusan Malaysia

Ops Murni: Tentera bantu pindah mangsa banjir

ANGGOTA tentera membantu memindahkn mangsa banjir dalam Ops Murni di Perkampungan Darul Barakah, Pengkalan Berangan, Marang, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG:  Seramai 115 penduduk di Perkampungan Darul Barakah, Pengkalan Berangan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Berangan di sini, dengan bantuan anggota dan pegawai tentera setelah kawasan tersebut ditenggelami banjir, petang tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-18, RAMD (Para), Kem Seri Pantai Kuala Nerus,  Leftenan Kolonel Mohd. Ashafiq Abdul Aziz berkata, seramai tiga pegawai dan 35 anggota lain-lain pangkat terlibat dalam Ops Murni bagi memindahkan mangsa banjir terlibat.

Menurutnya, operasi menyelamat itu bermula sekitar pukul 3 petang dan berakhir sejam kemudian dilaksanakan susulan perkampungan berkenaan terjejas dan hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan trak tiga tan.

“Kita menggunakan aset kenderaan milik Angkatan Tentera Malaysia dan agensi awam yang lain dengan membawa penduduk dari lokasi terjejas ke PPS di SK Pengkalan Berangan,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Darul Barakah, Pengkalan Berangan, di sini, petang tadi.

Tambah beliau, Op Murni telah memasuki hari ketiga dijalankan di kawasan terjejas banjir di daerah Marang dan Hulu Terengganu.

“Operasi memindahkan mangsa banjir tersebut juga melibatkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Selain itu, Mohd. Ashafiq memberitahu, Ops Murni juga melibatkan pasukan perubatan daripada pasukan sama untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan kepada mangsa banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya