KUALA LUMPUR: Operasi Pak Tam Katering Sdn. Bhd. di bangunan Parlimen diberhentikan serta merta susulan gagal mematuhi standard piawaian kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, operasi tersebut bagaimanapun akan bersambung semula sehingga mendapat kelulusan KKM untuk tindakan selanjutnya.
“Parlimen menyokong keputusan dan saranan KKM menghentikan serta merta perkhidmatan pengendalian Pak Tam Katering hingga mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak KKM selanjutnya.
“Kerjasama KKM akan tetap diteruskan secara berkala bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan mematuhi standard tertinggi berdasarkan garis panduan penyediaan dan penyeliaan makanan yang ditetapkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, kafe di bangunan utama Parlimen diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur selama dua minggu berkuat kuasa sehingga 26 November ini.
Notis Perintah Tutup Premis Makanan berkenaan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan berdasarkan Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Arahan perintah penutupan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan mendapati kafe berkenaan tidak bersih sehingga mungkin mendatangkan bahaya kepada orang awam.
Penutupan kafeteria itu sekali gus memberi kesukaran kepada ahli Parlimen, kakitangan dan media yang bertugas sepanjang persidangan Dewan Rakyat ketika ini.
Bagaimanapun, menurut pengurusan Parlimen, pihaknya meminta semua pihak untuk pergi ke kafe lain terletak di blok ahli Parlimen dan pentadbiran atau sebuah lagi kafe di bahagian blok sementara.
Dalam masa sama, Johari turut memaklumkan pemeriksaan kesihatan berskala telah dijalankan terhadap dua lagi kantin yang dikendalikan pengusaha kafeteria lain. – UTUSAN