Op Samseng Jalanan: Polis tahan 19 motosikal, remaja 13 tahun - Utusan Malaysia

Op Samseng Jalanan: Polis tahan 19 motosikal, remaja 13 tahun

MUHAMMAD Zaki Ramat ketika memeriksa seorang penunggang motosikal dalam Op Khas Samseng Jalanan di Senawang, Seremban awal pagi tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menahan 19 buah motosikal dan mengeluarkan 321 saman serta menahan tiga individu termasuk seorang remaja berusia 13 tahun dalam Op Khas Samseng Jalanan di Persiaran Senawang 1 di sini, kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, selain remaja terbabit, turut ditahan seorang mekanik berusia 24 tahun kerana melakukan aksi berbahaya wheelie.

Katanya, remaja dan mekanik terbabit yang juga penunggang motosikal, ditahan di susur masuk sebuah stesen minyak di Taman Matahari Height di sini. 

“Seorang lagi penunggang motosikal ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu di Jalan Persiaran Senawang 1. Dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan satu kes disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) APJ 1987/ Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK). 

“Mereka dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita pada operasi berkenaan.

Muhammad Zaki berkata, dalam operasi membabitkan sembilan pegawai dan 85 anggota itu, lebih 100 penunggang motosikal telah diperiksa dengan majoriti berusia 17 hingga 25 tahun.

Menurutnya, sebanyak 19 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 dan sebanyak 321 saman PDRM telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, selain mengeluarkan tujuh saman membabitkan pemilik kenderaan atau ibu bapa kerana membenarkan penunggang memandu tanpa lesen, dan 23 saman lagi bagi kesalahan ubah suai ekzos

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan mat rempit dan samseng jalanan serta operasi secara giat akan diteruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya