KUALA LUMPUR: Sebanyak 15,828 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada penunggang motosikal atas kesalahan tiada lesen dan cukai jalan dalam tempoh tujuh hari Operasi Khas Motosikal.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadli Ramli berkata, kesalahan itu merupakan antara yang tertinggi dicatatkan sepanjang operasi tersebut dijalankan sejak 1 November 2024.
“Pelbagai alasan yang diberikan termasuk mengatakan tidak sempat untuk perbaharui lesen dan cukai jalan mereka.
“JPJ akan menyita motosikal mereka jika didapati tidak mempunyai cukai jalan serta membuat pengubahsuaian ekstrem,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis Perasmian Penutup Program MyLesen 2024 di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur, hari ini.
Aedy menambah, mereka yang tidak mempunyai cukai jalan dan lesen bukan sekadar memberi kesan kepada diri sendiri, bahkan bakal menyusahkan pengguna jalan raya lain.
“Dalam tempoh operasi ini, penunggang motosikal dinasihatkan tidak melakukan kesalahan seperti dimaklumkan,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 1,824 penerima dalam program tersebut mendapat manfaat MyLesen B40 yang terdiri daripada Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 seramai 1,790 orang, Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing (14) dan PSV Bas (20).– UTUSAN