Nyanyian Raisa buat peminat hanyut dalam emosi - Utusan Malaysia

Nyanyian Raisa buat peminat hanyut dalam emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanyut dalam melodi, terbuai dibawa emosi apabila mendengar penyanyi kelahiran Jakarta, Raisa Andriana menghiburkan peminatnya di konsert Raisa Teristimewa di Mega Star Arena, Ahad lalu.

Muncul dengan persembahan yang bertenaga, Raisa telah memulakan pentas acara menerusi lagu berjudul, Teristimewa sekaligus meleraikan kerinduan peminat yang kali terakhir mendengar nyanyiannya secara langsung di konsert tahun lalu.

Malaysia sahaja sudah diibaratkan rumah keduanya selepas tiga tahun berturut-turut membuat konsert di sini.

Lebih menarik lagi, penyanyi yang berusia 34 tahun itu turut mendendangkan lebih 20 lagu hitnya yang membuatkan rata-rata peminatnya berpuas hati menikmati konsert yang berdurasi dua jam itu.

Antara lagu yang disampaikan pada malam itu adalah Pergilah, Jatuh Hati, Tak Berharap Lagi, Serba Salah, Si Paling Mahir dan Bahasa Kalbu.

Terharu dengan sambutan yang di terima pada malam itu, kata Raisa, dia sangat terkejut dengan tenaga luar biasa peminatnya di sini setiap kali dia mendendangkan lagu galau.

“Peminat saya di sini agak pelik ya. Bila saya menyanyikan lagu rancak, tenaganya biasa sahaja. Tetapi kalau saya menyanyikan lagu sedih, semua seperti bersungguh-sungguh dan bersemangat sekali.

“Apa pun terima kasih kerana datang ke konsert saya. Saya yakin ada antara kalian yang turut hadir pada konsert saya yang sebelum ini. Rasanya, saya perlu buat konsert di sini setiap tahun. Kalau tiada dalam setahun itu seperti tidak lengkap,” katanya.

Penyanyi jelita itu juga tidak terlepas daripada menyanyikan koleksi lagu bahasa inggeris ciptaannya seperti Love and Let Go, Usai Di Sini, Tentang Dirimu, LDR dan Kembali yang disampaikan secara medley.

Kemunculan penyanyi tanah air seperti Ernie Zakri dan Hael Husaini secara tidak langsung menggamatkan lagi konsert itu.

Pada malam itu, Ernie telah menyanyikan lagu Anganku Anganmu manakala, Hael Husaini mendendangkan lagu Percayalah ketika berduet bersama Raisa.

Raisa turut menyanyikan lagu You, Let Me Be, Cinta Sempurna, Teka-Teki, Apalah, Biarkanlah, Mantan Terindah, Could It Be dan Terjebak Nostalgia.

Acara itu juga dilengkapkan dengan nyanyian lagu berjudul Kali Kedua serta Nyawa dan Harapan yang menjadi penutup konsert itu dengan sempurna. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya