KUALA LUMPUR: Nyanyian pelakon sensasi, Nur Fazura ketika mempromosikan lagu terbaharunya di sebuah program Indonesia telah dikritik hebat dalam kalangan warganet, sejak semalam.
Rata-rata warganet menyifatkan vokal Fazura ketika menyanyikan lagu baharu yang berjudul, Bertahan Demi Cinta itu kurang baik sehinggakan ada yang menyindir dan mentertawakannya.
“Dulu aku was-was juga dengan mutu nyanyian aku. Tapi sekarang aku lebih yakin dan tak malu,” sindir seorang netizen.
“Tak tahu nak sedih ke nak gelak. Jual tudung sajalah lepas ini,” komen seorang lagi netizen.
“Bakat terpendam ini elok pendam terus,” kata seorang lagi.
Bertahan Demi Cinta merupakan lagu duet Fazura bersama bekas suaminya, Fattah Amin yang dirakamkan sebelum mereka bercerai.
Ketika mempromosikan lagu tersebut, pelakon filem Gol dan Gincu itu turut berkongsi bahawa dia bangga dapat menjalani kehidupannya kini sendiri tanpa sebarang penyesalan meskipun rumah tangga yang pernah dibina bersama Fattah sejak tujuh tahun lalu musnah.
Sebelum ini, lagu tersebut telah menjadi bualan hangat apabila dilancarkan selepas pasangan itu sah bercerai pada 7 Oktober lalu.
Fazura dan Fattah pernah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. -UTUSAN