SETIU: Salah seorang mangsa kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa sekeluarga di Kilometer 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu Setiu, dekat Kampung Sungai Lerek di sini semalam, masih belum sedarkan diri.
Lebih menyayatkan hati, Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21, yang merupakan satu-satunya mangsa terselamat selepas kereta jenis Perodua Axia dinaikinya terlibat dalam kemalangan itu, masih belum mengetahui ibu bapanya Kamarudin Ibrahim, 55, dan Maimunah Mat Isa, 54, serta kakaknya, Nur Ardiena Kamarudin, 30, meninggal dunia dalam kemalangan itu.
Abang Nur Azwa Shamimi, Ahmad Kamarul Syafieq Kamarudin, 28, berkata, selepas kemalangan yang berlaku pada pukul 4.50 pagi semalam, adik bongsunya itu masih tidak sedarkan diri dan menjalani pembedahan akibat pendarahan di kepala di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, malam tadi.
“Saya dan adik beradik yang lain tunggu keadaannya stabil dan pulih terlebih dahulu, barulah akan memberitahunya berita kehilangan insan tercinta kami itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Semalam tiga beranak maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Kilometer 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu Setiu, ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang menghadiri konvokesyen Nur Azwa Shamimi di Universiti Antarabangsa Unitar di Putrajaya.
Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Perodua Axia, Nur Ardiena dan ibunya Maimunah maut di lokasi manakala bapanya, Kamarudin meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu manakala Nur Azwa Shamimi cedera parah.
Dua mangsa cedera ialah pemandu Toyota Hilux, Muhammad Maani Salleh, 24, serta penumpangnya, Muhammad Adhan Syahmie Mohd. Sukri, 18. – UTUSAN