KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyerahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengendalikan isu berkaitan sempadan negara yang berpotensi dicerobohi susulan akta maritim baharu negara Filipina.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau telah memaklumkan kepada kerajaan Persekutuan tentang perkara itu dan Malaysia telah pun menghantar nota bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Nota bantahan itu dikemukakan kerana sempadan maritim yang dibuat oleh Filipina itu masuk ke sempadan negara kita. Jadi, kita serahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikannya dalam keluarga Asean,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri sempena penutupan Worldskills Malaysia Sabah, di Insitusi Kemahiran Mara Kota Kinabalu, hari ini.
Katanya, rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang kerana sempadan negara akan terus dipertahankan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang ancaman keselamatan yang mungkin dihadapi oleh Sabah susulan kelulusan akta baharu Filipina iaitu Akta Zon Maritim Filipina (RA 12064) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (RA 12065).
Sementara itu, Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dalam berhadapan dengan tindakan yang mungkin dilakukan oleh Filipina, Kerajaan Persekutuan akan terus menjaga kepentingan Sabah yang berada dalam sebuah negara yang berdaulat.
“Kita akan mempertahankan kawasan perairan kita termasuk daripada segi hak untuk sumber perikanan yang kebetulannya di bawah Kementerian Pertanian. Kita akan mempertahankan itu.
“Maka sebelum kita dapat tahu maklumat sepenuhnya tentang akta baharu Filipina itu, kita mula dengan asas iaitu undang-undang kita yang selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Selepas itu barulah kita mengkaji adakah undang-undang daripada negara jiran itu melangkau undang-undang antarabangsa,” katanya.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 perlu dipatuhi setiap negara anggota termasuklah Filipina.
Sebelum ini, Bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyatakan keselamatan negara terutama di Sabah berisiko terancam berikutan dua akta baharu yang diluluskan di Filipina berkemungkinan akan mengakibatkan rakyat negara itu cuba masuk ke Sabah dalam skala besar.
Berikutan itu, Malaysia perlu menjadikan isu Akta Zon Maritim Filipina (RA 12064) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (RA 12065) sebagai agenda utama dengan menghantar nota bantahan secara keras dan meningkatkan pemantauan di perairan Sabah. – UTUSAN