PETALING JAYA: Northern Solar Holdings Berhad (Northern Solar), pakar tenaga solar memeterai Perjanjian Taja Jamin dengan M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Northern Solar menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE menjelang Febuari 2025.
Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu melibatkan Terbitan Awam sebanyak 67.3 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 35.6 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 17.0 peratus dan 9.0 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.
Selaras dengan Perjanjian Taja jamin itu, M & A Securities akan menaja jamin sejumlah 27.7 juta saham baharu yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia dan Peruntukkan Borang Merah Jambu.
Baki 39.6 juta saham baharu dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perlaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Bagi bahagian tawaran untuk jualan pula, 9.9 juta saham dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI manakala baki 25.7 juta saham akan diperuntukkan secara persendirian kepada pelabur terpilih.
Pengarah Urusan Northern Solar, Lew Shoong Kai berkata, pelaksanaan IPO adalah tepat pada masanya kerana akan membolehkan syarikat memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mengumpul dana bagi mengembangkan lagi perniagaan sistem solar fotovoltaik (PV), solarnya.
“Bilangan dan saiz EPCC projek sistem PV solar yang boleh kami lakukan pada bila- bila masa bergantung pada ketersediaan modal kerja kami.
“Jika kami ingin mengembangkan perniagaan dan mendapatkan kontrak lebih banyak dan lebih besar, kami mesti meningkatkan sumber kewangan yang ada untuk memenuhi modal kerja yang diperlukan untuk melaksanakan kontrak.
“Dengan menggunakan sebahagian daripada hasil daripada Terbitan Awam untuk memenuhi pelbagai keperluan modal kerja, kumpulan akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat tender dan mengembangkan portfolio kami dalam EPCC segmen sistem PV solar,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, hasil Northern Solar melonjak daripada RM22.2 juta kepada RM78.0 juta pada tahun kewangan 2024, mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) dua tahun sebanyak 51.9 peratus.
Syarikat juga telah mencatatkan momentum pertumbuhan yang kukuh untuk keuntungan selepas cukai dari tahun kewangan 2022 hingga 2024.
Keuntungan selepas cukainya meningkat daripada RM3.1 juta pada tahun kewangan 2022 kepada RM10.1 juta pada tahun kewangan 2024, mencatatkan CAGR dua tahun sebanyak 48.0 peratus.
Pemegang saham utama Northern Solar termasuk Encik Lew, Encik Edward Chew (Pengarah Eksekutif Northern Solar) dan Lagenda Properties Berhad yang tersenarai di Pasaran Utama. – UTUSAN