SEPANG: Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sepang baharu secara rasminya pada hari ini menggantikan Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan yang memangku jawatan itu sebelum ini.
Ia berikutan penyandang terdahulu jawatan itu, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Norhizam sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Turus Pendataan/Analisa, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, hari ini.
Sasikala ketika berucap yakin dan percaya bahawa Norhizam mampu menggalas tugas yang diamanahkan dengan penuh komited dan iltizam yang tinggi demi mencapai misi dan visi pasukan.
“Saya yakin dan percaya bahawa Norhizam akan meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dibina oleh daerah ini dengan berbekalkan pengalaman yang ada dalam dunia kepolisan agar dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.
Sementara itu, Norhizam menggesa semua anggota dan pegawai di IPD Sepang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik untuk masyarakat.
Norhizam, 52, dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan telah berkhidmat selama 29 tahun dalam PDRM dan pernah menjawat beberapa jawatan termasuk Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. – UTUSAN