PETALING JAYA: Pelakon, Nora Danish, mengajak peminat melakukan solat sepertiga malam atau Qiamullail untuk mencari kebahagiaan.
Jelas Nora atau Nora Mohd. Danish Hanif, 42, beribadah pada pada waktu itu melatihnya untuk tidak meletakkan kebahagiaan kepada perkara yang sementara.
“Qiamullail pagi ini membuat saya faham tentang ‘bahagia tanpa syarat’.
“Kita boleh buang kesombongan diri, bersihkan sifat dalaman yang buruk, buka penjara hati dengan niat berubah dan menerima qada dan qadar Allah.
“Kita boleh bahagia tanpa bergantung kepada sesiapa, benda atau tempat,” tulisnya menerusi hantaran di aplikasi Threads.
Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo 3 itu mengajak peminat untuk sama-sama membersihkan dalaman diri dan tingkah laku menerusi ibadah di malam hari.
“Jom kita usaha ‘bersihkan pakaian’ kita sama-sama,” katanya lagi.
Sebelum ini, aktres itu juga pernah menyarankan kaum perempuan untuk memperbanyak istighfar dan sedekah bagi mengelakkan daripada perbuatan mengumpat.
“Nabi berpesan, kita perlu membanyakkan istighfar dan sedekah supaya tidak muflis akhirat.
“Kerana sudah jadi kebiasaan kita suka ‘membawang’, bila bersedekah itu pula niatkan kepada orang yang pernah kita zalimi.
“Kalau kita nak minta maaf setiap orang yang kita umpat, memang tidak logik apa lagi yang kita tak pernah jumpa.
“Amalkan sedekah dan sentiasa bertaubat,” kongsinya. -UTUSAN