KUALA LUMPUR: Kerajan memberi jaminan nilai ringgit masih kukuh walaupun terdapat pelbagai perkembangan dan penyesuaian pasaran baru-baru ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ringgit sudah mengukuh sebanyak 5.03 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 4 November lalu.
Pada masa sama, kata beliau ringgit juga mengukuh berbanding mata wang negara serantau antanya sebanyak 13.3 peratus berbanding Yen, Won (12.2 peratus), Rupiah (7.5 peratus) dan 3.7 peratus berbanding Baht.
Dari segi perkembangan global, perubahan jangkaan kadar dasar monetari yang lebih rendah di ekonomi utama global, khususnya di AS telah menyumbang kepada pengukuhan ringgit.
“Faktor global seperti pergolakan geopolitik di Timur Tengah dan pilihanraya di AS turut menyumbang kepada turun naik pasaran kewangan global termasuk ringgit dan mata wang negara yang pesat membangun,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang memintanya menyatakan prestasi tahun ini nilai matawang ringgit berbanding dengan dolar AS dan mata wang asing negara lain
Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan itu turut meminta Amir Hamzah menjelaskan apakah nilai yang berpatutan selaras dengan kenaikan pelaburan asing, pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) yang menggalakkan dan kadar inflasi terkawal.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, ekonomi Malaysia sudah berkembang secara purata sebanyak 5.1 peratus setakat suku ketiga 2024.
Jelasnya, ia termasuk anggaran awalan oleh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku ketiga 2024 sebanyak 5.3 peratus.
“Seterusnya, ekonomi negara dijangka mencatat perkembangan antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus untuk keseluruhan tahun 2024. Inflasi masih rendah dan terkawal pada 1.8 peratus di bulan September 2024.
“Jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang telah diluluskan separuh tahun pertama tahun ini adalah sebanyak RM160 billion berbanding RM136 billion pada tahun 2023 dalam tempoh sama,” jelasnya.
Tambahnya, matlamat kerajaan adalah untuk memastikan bahawa ringgit didagangkan dalam keadaan teratur.
“Oleh yang demikian, Bank Negara Malaysia sentiasa bersedia mengambil langkah dalam pasaran pertukaran asing (FX Intervention) untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan,” katanya.