PETALING JAYA: Nilai eksport halal ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mencecah RM1.13 bilion pada tahun lalu membuka ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh peranan dalam ekonomi halal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia komited mempromosikan produk halal yang mana negara ini berada di landasan terbaik untuk menjadi Hab Halal Global.
Katanya, UAE kini dianggap sebagai rakan strategik Malaysia di Asia Barat dan kerajaan sangat mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dalam sektor farmaseutikal, ekonomi digital dan aeroangkasa.
“Saya juga menyentuh usaha Malaysia dalam mempromosikan produk halal yang mana negara kita berada di landasan terbaik untuk menjadi Hab Halal Global.
“Dengan nilai eksport halal ke UAE mencecah RM1.13 bilion pada tahun 2023, kita terus komited memperkukuh peranan Malaysia dalam ekonomi halal.
“Selain itu, saya turut berkongsi mengenai usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai ‘pengubah keadaan’ dalam membina tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Majlis Makan Malam bersama Komuniti Malaysia di Dubai bersempena lawatan rasmi ke UAE.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rakyat Malaysia di Dubai merupakan duta kecil untuk memperkukuh hubungan diplomatik antara dua negara bagi membuka pelbagai peluang luas dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
“Buat komuniti Malaysia di UAE, setiap langkah dan pencapaian anda adalah cerminan negara kita. Marilah kita sama-sama membawa nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati di mata dunia,” katanya.
Ahmad Zahid selesai mengadakan lawatan rasmi ke UAE dari 13 hingga semalam apabila beliau terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi, tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dua hala, dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti industri halal, TVET dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau juga merasmikan MIHAS Dubai 2024 dan dikesempatan itu, bertemu dengan pemegang taruh berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha untuk mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.
Pada tahun 2023, UAE merupakan pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.
Dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion (AS$7.5 bilion) berbanding RM28.31 bilion (AS$6.5 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023.-UTUSAN