Nidzam profesional, perlu tambah ilmu

Nidzam profesional, perlu tambah ilmu

NIDZAM Jamil meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Selangor FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nidzam Jamil mengambil tindakan yang profesional susulan keputusannya melepaskan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC.

Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa berkata, keputusan Nidzam menunjukkan dirinya seorang yang profesional dan mungkin beliau merasakan sudah tidak mampu menggalas tanggungjawab tersebut.

Katanya, semua sedia maklum tentang sejarah dan harapan tinggi peminat-peminat bola sepak Selangor kepada mana-mana jurulatih yang mengendalikan kelab itu.

“Pada saya ia bukan kejutan tetapi tekanan selepas dia mengambil tanggungjawab yang ditinggalkan jurulatih dahulu (Tan Cheng Hoe). Harapan daripada pihak pengurusan dan peminat mungkin begitu besar untuk dirinya.

“Bagi saya tindakannya adalah profesional, mungkin dia merasakan dirinya sudah tidak mampu untuk memenuhi harapan dan permintaan pihak pengurusan serta penyokong,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Selangor ketika ini berada dalam prestasi memuaskan apabila berada di kedudukan kedua Liga Super selain mendahului Kumpulan H dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Kelmarin, Nidzam membuat kejutan apabila melepaskan jawatan pengendali pasukan Selangor berkuat kuasa serta-merta selepas hampir tujuh bulan mengemudi Gergasi Merah.

Sepanjang membimbing Selangor, Nidzam membawa pasukan mencatat lapan kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan untuk berada di kedudukan kedua Liga Super.

Dalam aksi ACL 2 pula, Nidzam berjaya meraih dua kemenangan dan satu seri termasuk mengejutkan pasukan Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai FC untuk memimpin Kumpulan H.

Dalam pada itu, Sadek berharap Selangor tidak akan memutuskan ‘hubungan’ dengan Nidzam. sebaliknya menghantar beliau ke luar negara bagi menambah ilmu kejurulatihan terutama daripada segi taktikal.

“Saya harap Selangor akan terus mengekalkan Nidzam dan menghantar dia ke luar negara bagi menimba ilmu tentang aspek taktikal di Eropah bersama kelab-kelab besar.

“Nidzam memiliki potensi besar untuk menjadi jurulatih tempatan terbaik pada masa akan datang sebab dia masih muda dan paling penting dia tidak berputus asa untuk terus belajar,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya