SEREMBAN: Negeri Sembilan mencatatkan penempatan lebih 6,500 pekerja menerusi penganjuran Karnival Kerjaya setakat 15 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S. Veerapan berkata, ia merupakan pencapaian yang amat membanggakan dalam usaha kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pelbagai agensi untuk meningkatkan kebolehpasaran rakyat di Negeri Sembilan.
Namun katanya, masih banyak cabaran yang perlu diatasi, termasuk untuk meningkatkan kualiti latihan dan memastikan kemahiran yang diberikan selaras dengan keperluan industri.
“Sehubungan itu, saya menggesa kolaborasi strategik diteruskan antara kerajaan, institusi pendidikan, dan sektor swasta untuk memperluas peluang pekerjaan dengan menyediakan lebih banyak latihan yang relevan,” katanya berucap pada Karnival Kerjaya CareerPlus MYFutureJobs Negeri Sembilan 2024 di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai, Seremban dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, seiring dengan cabaran semasa, Kerajaan Negeri turut memastikan kemahiran dan kepakaran belia serta modal insan, sentiasa kekal relevan di samping menjadi garis panduan bagi program pembangunan modal insan secara holistik di negeri ini.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program kebolehpasaran dan latihan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang relevan dengan keperluan industri semasa.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan melihat pada penambahbaikkan dalam meningkat produktiviti pekerja dalam industri di negara ini,” katanya.
Menurut beliau, polemik ketidakpadanan kerjaya antara perkara yang amat dititikberatkan bagi menyediakan kemahiran yang terbaik kepada semua pencari kerja terutama belia dan para graduan.
“PERKESO sedang mempergiat program ‘reskilling’ (kemahiran semula) dan ‘upskilling’ (peningkatan kemahiran) bagi menyediakan pekerja yang berkualiti sejajar dengan kebolehpasaran peluang pekerjaan sedia ada,” katanya.– UTUSAN