Nazri Khan cipta sejarah Juara Perdagangan Pasaran Hadapan Dunia
MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI/PIX (zabry)
[email protected]
PETALING JAYA: Malaysia Book of Records (MBOR)’ memberi pengiktirafan kepada Datuk Dr. Nazri Khan sebagai individu pertama Malaysia menjadi Juara Perdagangan Pasaran Hadapan Dunia pada tahun ini.
Nazri Khan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa sebelum ini apabila dinobatkan sebagai Juara Perdagangan Dunia 2024 pada Kejohanan Piala Dunia Perdagangan dengan rekod pulangan sebanyak 302.5 peratus bagi suku pertama, 179.6 peratus (suku kedua) dan 357.2 peratus (suku ketiga).
Beliau berkata, pencapaian itu berjaya membuktikan keberkesanan ekonomi digital selaras dengan kerangka Ekonomi Madani dengan menyokong pembangunan modal insan yang berintegriti, inovatif dan kompetitif di peringkat dunia.
“Kejayaan ini membuktikan pendekatan ekonomi berteraskan Malaysia Madani mampu membawa nama negara ini ke persada antarabangsa. Pengiktirafan boleh memberi inspirasi bagi golongan pedagang dan pelabur di Malaysia.
“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi pembakar semangat kepada semua pihak terutama golongan muda di Malaysia untuk menceburi bidang perdagangan dengan lebih serius dan melihatnya sebagai jalan menuju kecemerlangan,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN