Nak kecam, aku tak hairan! - Azwan Ali - Utusan Malaysia

Nak kecam, aku tak hairan! – Azwan Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Itu majlis tertutup, bukan untuk mana-mana stesen televisyen (TV), itu saya punya pasal.”

Demikian reaksi pengacara dan pelakon, Azwan Ali yang mengulas mengenai videonya berpakaian seperti wanita ketika menghadiri sebuah acara yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurut Azwan yang lebih mesra disapa Diva AA, dia tidak hairan dengan kecaman yang dilemparkan oleh netizen atau ‘nerakazen’ kerana dia dibayar oleh penganjur acara tersebut untuk berpenampilan sedemikian di majlis berkenaan.

“Kepada yang mengecam itu, muhasabahlah sebab aku yang kaya raya. Nak kata saya ‘memondan’ walaupun sudah berusia, pergi jaga kubur emak kau. Saya buat apa juga show yang bayar saya ‘berkepuk-kepuk’. Tak kisahlah jika dikecam atau apa, sikit pun saya tak hairan. 

“Itu takkan menggugat semangat saya untuk menjadi seorang penghibur. Saya buat itu ada batasnya. Kau tak ada hak untuk kecam sebab itu majlis tertutup. Viral atau tidak itu bukan masalah saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Azwan, dia cakna apabila videonya ketika menyanyikan lagu Perawan atau Janda di sebuah pusat karaoke itu tular dan mencetuskan pelbagai respons dalam kalangan warganet.

Enggan mengambil pusing dengan tohmahan yang diterima, Azwan memberitahu itu juga merupakan sebahagian daripada sumber pendapatannya terkini untuk terus kekal menjadi penghibur setelah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.

“Saya sedar perkara itu malam tadi. Saya hanya ketawa berdekah saja sebab tak menjejaskan semangat saya. Saya hanya menjadi diri saya. Saya pun dah lama tak keluar TV. Tidak ada stesen TV yang panggil saya. Jadi, mereka yang rindukan saya bayar saya untuk majlis tersebut.

“Pendapatan saya sekarang berdasarkan ulasan produk, private show dan podcast berbayar. Bila timbul isu artis veteran dibayar ciput, saya jadi pelik. Yang penting kita kena pandai bawa diri.

“Saya anggap itulah rahmat menjadi Diva AA yang semakin meningkat sokongannya. Rezeki itu dari Allah dan saya rasa itulah rezeki terbaharu saya. Tak perlu kecam, itu rezeki orang dan cara saya buat duit,” jelasnya.

Dalam masa sama, pengacara program Amboi Amboi Amboi itu turut meluahkan rasa syukur apabila khidmatnya sebagai penghibur untuk mewarnai industri seni tanah air masih dirindui oleh sesetengah pihak.

Walaupun terpaksa berpakaian mencolok mata sedemikian, Azwan menegaskan dia juga sedar akan batasnya dan berpada-pada dalam menghiburkan orang ramai.

“Tetamu yang hadir ke majlis itu tiada masalah dan terhibur dengan persembahan saya. Bahkan penganjur majlis itu juga membawa ibunya ke majlis tersebut dan ibunya terhibur. Saya bersyukur mereka terima persembahan itu yang lebih kepada hiburan. 

“Saya buat itu juga berpada-pada, cuma pakaian dan make up itu ditaja. Itu juga pertama kali saya berpakaian seperti wanita. Saya tak pernah buat perkara itu dalam kerjaya saya. 

“Saya buat sebab itu dibayar dan untuk majlis tertutup. Tak sangka pula viral. Saya terkejut sambutan itu masih diluar jangkaan dan meningkat walaupun saya sudah lama tidak muncul di kaca TV,” ujarnya.

Terdahulu, tindakan pengacara sensasi itu, berpakaian dan bersolek seperti wanita ketika menghadiri sebuah acara tular di media sosial sekali gus mengundang kecaman dari netizen. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN