Najis tikus: Restoran nasi kandar diarah tutup 14 hari

Najis tikus: Restoran nasi kandar diarah tutup 14 hari

NAJIS tikus dijumpai di premis-premis makanan yang diperiksa di sekitar George Town, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua restoran nasi kandar adalah antara lapan premis makanan diarah tutup 14 hari oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) susulan penemuan najis tikus dan lipas di premis-premis tersebut di sekitar bandar ini, semalam.

Dalam pemeriksaan secara mengejut dan rawak itu, ada premis makanan didapati tidak menghiraukan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan apabila memproses dan memotong ikan mentah atas lantai. 

Ahli Majlis yang juga Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP, Tan Soo Siang berkata, pemeriksaan perlu dilaksanakan bagi memastikan kebersihan premis makanan di negeri ini sentiasa terjaga. 

Katanya semua lapan premis itu dikenakan tindakan iaitu arahan penutupan serta-merta selama 14 hari di bawah Undang-Undang Kecil UUK 38(1) UUK Establisymen Makanan MPPP 1991.

“Kami tidak berkompromi dengan piawaian kebersihan dan akan melaksanakan pemantauan secara berkala selain membuat pemeriksaan secara rutin dan rawak secara mengejut dari semasa ke semasa,” katanya di sini, hari ini.

Tegas beliau, penutupan premis kotor bukan mahu menjejaskan perniagaan, tetapi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Semua premis makanan di bawah seliaan MBPP perlu mematuhi tahap piawaian kebersihan ditetapkan. Ia bukan sahaja penting untuk memastikan kesihatan pelanggan, tetapi turut  menjaga reputasi industri makanan dan minuman (F&B) di kawasan pentadbiran MBPP.

“Pemantauan berterusan turut membantu restoran dan premis makanan mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan, selain memberi impak positif kepada industri ini secara keseluruhan,” katanya.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya