Najib, Mohd. Irwan dilepaskan tanpa dibebaskan tuduhan pecah amanah RM6.6b

Najib, Mohd. Irwan dilepas tanpa dibebas tuduhan pecah amanah RM6.6b

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Percubaan ketiga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah membuahkan hasil apabila mereka dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada enam pertuduhan melakukan pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat selama dua hari sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, Najib dan Mohd. Irwan masih belum boleh menarik nafas lega kerana mereka boleh didakwa semula di mahkamah pada bila-bila masa.

“Alasan ringkas saya ialah pertamanya, pihak pendakwaan tidak mematuhi peruntukan Seksyen 51A Akta Prosedur Jenayah. Kedua, perintah DNAA ini tidak memprejudiskan pihak pendakwaan kerana mereka boleh menuduh semula kedua-dua tertuduh.

“Ketiga, kes ini telah didaftarkan (didakwa) pada 2018 namun perbicaraan kes tidak boleh diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali. Ini merupakan satu kelewatan yang melampau.

“Permohonan tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd Irwan) dalam notis usul dibenarkan. Oleh itu tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA daripada keenam-enam pertuduhan. Wang jamin dikembalikan kepada penjamin,”kata hakim itu.

Menurut Seksyen 51A, pendakwaan perlu menyerahkan segala dokumen berkaitan dengan kes tersebut kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Kes itu sepatutnya mula dibicarakan pada September 2021 namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Bagaimanapun, pada 4 Jun lalu iaitu tarikh sepatutnya perbicaraan itu bermula, peguam-peguam bela, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi Najib memaklumkan mahkamah terdapat ratusan dokumen yang masih belum diserahkan kepada mereka.

Antara dokumen terbabit membabitkan 145 dokumen yang dirujuk oleh saksi-saksi pendakwaan dalam pernyataan saksi mereka, 59 dokumen berkait keterangan bersumpah yang diberikan Mohd. Irwan sewaktu siasatan dan 40 dokumen rasmi kerajaan yang masih belum dinyahklasifikasi.

Pada Isnin lalu, pendakwaan memaklumkan mahkamah dokumen-dokumen rasmi kerajaan seperti kertas Kabinet, minit mesyuarat kementerian dan jabatan kerajaan akan mengambil masa untuk dinyahklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana ia bergantung kepada agensi terlibat untuk melakukannya.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Najib dan Mohd. Irwan masing-masing didakwa bersama atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan melakukan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM1.2 bilion dan RM655 juta.

Pertuduhan ketiga, Najib dan Mohd. Irwan yang diama­nahkan ke atas harta sejumlah RM220 juta iaitu peruntukan di bawah Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB) milik kerajaan.

Bagi pertuduhan keempat, mereka dalam jawatan yang sama di­amanahkan dengan penguasaan ke atas harta RM1.3 bilion peruntukan di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Akti­viti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai milik kerajaan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka juga telah melakukan pecah amanah terhadap harta RM1.26 bilion dan RM2 bilion milik kerajaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN