PETALING JAYA: Kerajaan disaran meningkatkan kadar gaji minimum sehingga RM2,000 sebagai langkah progresif membantu rakyat mengurangkan kerisauan untuk bersara akibat kekurangan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, keperluan untuk mendapatkan gaji minimum yang ideal membolehkan rakyat terutama golongan B40 untuk mencapai sasaran simpanan KWSP RM240,000 bagi membolehkan mereka bersara dengan senang hati pada usia 60 tahun.
Menurut beliau, gaji minimum sebanyak RM2,000 merupakan satu langkah permulaan yang dapat memenuhi keperluan simpanan dalam KWSP mencukupi untuk sekurang-kurangnya 30 tahun tempoh bekerja.
“Kajian juga menunjukkan keperluan simpanan mencecah RM240,000 bagi rakyat Malaysia untuk boleh bersara dengan baik menjelang usia 60 tahun.
“Kenaikan peratusan caruman juga harus progresif mengikut kestabilan ekonomi semasa negara dan peningkatan gaji minima tahunan oleh pencarum.
“Malaysia boleh contohi Singapura yang mempunyai kadar caruman yang tinggi dengan pulangan ideal terhadap rakyat dan negara dalam jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bashir berkata, bagi memastikan penjagaan usia tua yang lebih terjamin, kerajaan juga perlu menitikberatkan kepada kemudahan dan keterjaminan perkhidmatan kesihatan awam.
“Penubuhan rumah penjagaan warga tua yang fleksibel umpamanya dengan potongan bayaran melalui caruman KWSP boleh dilaksanakan kerana kesihatan merupakan ancaman utama warga tua dan menelan belanja yang banyak untuk rawatan jika tiada keterjaminan kemudahan dari aspek ini,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 66 peratus atau 2.2 juta daripada 3.4 juta rakyat Malaysia terpaksa menangguhkan persaraan ekoran tidak cukup simpanan selain dibelenggu masalah kewangan sedia ada.
Sementara itu, Bashir berkata, kerajaan juga disaran menaikkan umur persaraan melebihi 60 tahun secara berkala atau berperingkat dengan permulaan kepada 62 tahun dalam belanjawan akan datang.
“Ia juga ideal jika diberi kelonggaran kepada golongan yang bersara untuk diberi pilihan bekerja dengan waktu yang fleksibel dalam sektor-sektor tertentu.
“Selain membantu golongan pesara dari segi kewangan, ia juga dapat mengurangkan tekanan hidup selain memberi kesihatan yang lebih baik dengan adanya pergerakan dan pemikiran melalui pekerjaan sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan juga boleh menubuhkan institusi perlindungan sosial kepada warga emas dalam usaha memastikan masalah ini diselesaikan dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata, kerajaan boleh mulakan program universal pay atau gaji sejagat agar mereka boleh mendapat satu jaminan untuk terus hidup selesa walaupun setelah bersara.
“Tetapi ini merupakan rancangan jangka panjang dan kita memerlukan mungkin sehingga satu trillion ringgit pelaburan untuk mampu menangani permasalah ini.
“Kewujudan sebuah badan yang mengajar bakal-bakal pesara mencuba bidang baharu juga dapat memberikan mereka idea untuk menjanakan pendapatan.
“Misalnya, masa ini kita boleh menjana banyak sumber pendapatan dengan mempelajari ilmu kecerdasan buatan (AI) kerana dengan teknologi yang ada sekarang, pengetahuan yang sedikit berkenaan coding sudah cukup untuk membuat aplikasi dan sebagainya,” ujarnya.- UTUSAN