Nafuzi akhirnya ‘angkat kaki’ dari Kedah - Utusan Malaysia

Nafuzi akhirnya ‘angkat kaki’ dari Kedah

NAFUZI ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Teka-teki Nafuzi Zain akan meninggalkan Kedah Darul Aman FC akhirnya terjawab apabila beliau sah meletak jawatan selaku ketua jurulatih pasukan itu berkuatkuasa hari ini.

Pengumuman mengenai perkara itu dilakukan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin dalam satu kenyataan rasmi malam ini.

Shahrul berkata, pihak pengurusan telah menerima permohonan perletakkan jawatan daripada Nafuzi pada hari ini.

“Permohonan ini telah diperhalusi dengan sedalamnya oleh pihak pemilik, ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang diterima dengan rasa berat hati tetapi penuh rasa hormat.

“Sejak bersama pasukan pada Disember 2022 hingga sekarang, beliau telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi dan komited serta jitu.

“Pencapaian tempat ke-4 Liga Super 2023 pada tahun pertama beliau bersama pasukan serta peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024 adalah pencapaian terbaiknya semasa bersama pasukan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Shahrul, kelab mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti Nafuzi selama ini serta mendoakan beliau terus berjaya dalam perjalanan kariernya selepas ini.

Susulan itu ujarnya, KDA FC bersetuju untuk melantik penolong jurulatih, Victor Andrag sebagai Ketua Jurulatih Interim pasukan Liga Super Kedah bermula esok.

“Pihak pengurusan akan menilai serta membuat keputusan dari masa ke masa mengenai calon ketua jurulatih pasukan yang tetap mengikut keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki kancah Liga Malaysia 2024/2025,” katanya.

Beberapa hari lalu, penerima anugerah jurulatih terbaik kebangsaan 2022 itu enggan memberi sebarang ulasan ketika khabar mengaitkannya dengan skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Nafuzi ketika itu menyatakan hanya mahu memberi fokus pada aksi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Darul Aman, kelmarin yang menyaksikan Sang Kenari menang tipis 3-2.

Kelmarin, KDA FC turut kehilangan tonggak import yang juga ketua pasukan mereka, Sony Norde yang mengesahkan akan berkelana ke Indonesia bermula Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya