KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) digantung perlembagaan berkuat kuasa 1 November sehingga penarikan semula diumumkan.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin berkata, ia susulan berlakunya kecelaruan dalam usaha mentadbir sehingga menjejaskan kepentingan pertubuhan terhadap anggota di bawahnya.
Beliau yang juga Pendaftar Pertubuhan Peladang berkata, keputusan itu diambil selepas konflik dalaman berlaku semasa perintah moratorium selama sembilan bulan bermula 7 Februari sehingga 31 Oktober lalu bertujuan memperbaiki tatakelola dan tadbir urus NAFAS.
“NAFAS memerlukan tindakan pemulihan segera ekoran isu-isu konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan NAFAS dari segi operasi dan fungsinya.
“Namun, isu-isu berbangkit ini menunjukkan bahawa usaha menambah baik tatakelola dan tadbir urus NAFAS semasa di dalam tempoh moratorium tidak dihayati dengan baik oleh jemaah pengarah NAFAS,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini. – UTUSAN