PETALING JAYA: Pelakon, Nadhir Nasar, meminta pendatang baharu untuk merenung kesalahan diri sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.
Nadhir atau Ahmad Nadir Ahmad Nasar, 26, tidak mahu kenyataan berkenaan isu buli yang dikongsikan seorang pelakon baru menimbulkan tanggapan buruk dalam kalangan pelakon senior.
“Sebab kau, pelakon senior ada stereotaip terhadap pelakon baharu, baguslah.
“Senang cerita, kalau kau tiada masalah, tiada orang nak buat masalah dekat kau,” kongsinya menerusi hantaran di aplikasi X.
Dalam pada itu, pelakon Project: High Council itu meminta pendatang baharu untuk sentiasa merendah diri dan berlapang dada menerima teguran yang diberikan.
“Tidak perlu semua benda mahu cerita, renung kesilapan diri sendiri.
“Jalan depan orang lama, tunduk. Dimarahi orang lama, duduk. Menegakkan benang yang basa itu buruk,” tambahnya.
Terdahulu, beberapa pelakon baharu mendakwa pernah menjadi mangsa buli di set penggambaran.
Bagaimanapun, ramai pelakon senior menafikan perkara itu selain menyarankan mereka mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai dengan ketahanan mental masing-masing. -UTUSAN