PETALING JAYA: Sebuah platform baharu dikenali MySiswaPlace dilancarkan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) sebagai satu inisiatif ke arah digitalisasi kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, portal berkenaan akan menjadi platform mendapatkan maklumat berkaitan gaya hidup masa kini dan sebagai pemudahcara proses pembelajaran di kampus.
“Ia merupakan satu platform untuk membantu pelajar menyalurkan bantuan seperti baucar buku dan kita akan segerakan supaya pemberian ini dapat diagihkan.
“Manakala YPS ini adalah hasil daripada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang kita adakan dan ia diwakili mereka. Sumbangan yang diberi kerajaan dalam yayasan ini akan diagihkan kepada mahasiswa yang memerlukan termasuk mereka yang tidak berkemampuan dan memerlukan pembelaan dengan segera,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
YPS telah dilantik Kementerian Pengajian Tinggi sebagai penyelaras bagi Pemberian Inisiatif Baucar Buku Fasa Kedua 2024 dan bagi tujuan tersebut, YPS telah membangunkan platform MySiswaPlace.
Kata Zambry lagi, perancangan jangka masa panjang MySiswaPlace turut melangkaui keperluan hanya untuk penebusan baucar dan pembelian buku.
“Portal berkenaan juga bakal menjadi pusat sehenti bagi mahasiswa untuk mendapatkan pelbagai bantuan dan geran daripada YPS secara dalam talian.
“Ia akan meningkatkan lagi tahap kecekapan pengurusan penyaluran sumbangan kepada mahasiswa yang berkeperluan sepanjang pengajian di kampus,” ujarnya.
Mahasiswa boleh menebus baucar dan membuat pembelian melalui laman web MySiswaPlace di www.mysiswaplace.my sehingga 31 Disember ini. – UTUSAN