MyKad generasi baharu dalam masa terdekat

MyKad generasi baharu dalam masa terdekat

SHAMSUL Anuar Nasarah-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam fasa akhir memuktamadkan perolehan bagi kad pengenalan struktur baharu yang bakal menggantikan yang sedia ada yang dikeluarkan sejak  2012.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penggantian itu bertujuan memastikan kad pengenalan dikeluarkan JPN kelak mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi, selamat dan dipertingkat selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini.

“Ia juga bagi membendung sebarang cubaan untuk memalsu dan menyalahgunakan MyKad yang menjadi dokumen penting bagi Malaysia,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang memintanya menyatakan status terkini berkaitan dengan kad pengenalan generasi baharu yang bakal diperkenal kerajaan bagi menggantikan kad pengenalan diri sedia.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, semua fungsi MyKad jenis lama akan dimansuhkan sebaik sahaja MyKad generasi baharu diperkenalkan bagi mengatasi isu pemalsuan kad identiti kewarganegaraan.

Menjawab soalan tambahan dari Manndzri, Shamsul Anuar berkata, MyKad generasi baharu dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih itu diperbuat daripada bahan ‘polycarbonat’ yang sudah diuji ketahanannya di makmal bertauliah.

“Ia dilengkapi dengan ciri keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar dengan piawaian keselamatan yang dipertingkatkan. Kad ini kita buat untuk bendung masalah pemalsuan kad pengenalan dan kebocoran data.

“Reka bentuk MyKad baharu ini juga tampil lebih moden dengan elemen seperti tulisan laser dan hologram yang lebih maju selaras dengan perkembangan teknologi terkini. Ciri keselamatan terkini itu diyakini mampu mengatasi isu pemalsuan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kos, katanya, JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan MyKad tersebut memenuhi prinsip nilai faedah terbaik.

“Usaha ini untuk memastikan kos pengeluaran yang tidak membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber secara optimum sejajar garis panduan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata, sebanyak 2,103 operasi penguatkuasaan sudah dilaksanakan oleh JPN di seluruh negara yang terdiri daripada 1,606 oleh penguat kuasa JPN dan 497 operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasa lain.

Jelasnya, JPN sentiasa mejalankan aktiviti pencegahan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pemalsuan MyKad dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain.

“Daripada operasi dijalankan, JPN sudah menahan 519 individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Daripada jumlah itu, seramai 190 sudah didakwa, di mana 130 individu memiliki MyKad palsu dan 60 individu MyKad milik orang lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya