PETALING JAYA: Perbadanan Harta Intelek Malaysia bakal bekerjasama dengan institusi kewangan tempatan dan pihak berwajib untuk menjadikan harta intelek sebagai salah satu instrumen yang boleh dijadikan cagaran.
Penolong Ketua Pengarah MyIPO, Sh. Arifin Sh. Mohd Noor berkata, perkara tersebut berupaya membuka peluang pembiayaan yang lebih besar kepada syarikat-syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi kesulitan bagi mendapatkan pembiayaan untuk perniagaan mereka.
“Ketika ini harta intelek tidak termasuk dalam kategori aset yang boleh dicagarkan di mana-mana institusi kewangan tempatan bagi tujuan mendapatkan pinjaman.
“Dengan pengiktirafan ini, harta intelek dijangka menjadi pemacu utama dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia, selaras dengan pelbagai inisiatif negara seperti Dasar Harta Intelek Negara, Kerangka Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Program National Training Seminar On IP Valuation, bertempat di Menara MyIPO, di sini hari ini.
Sementara itu, Program National Training Seminar on IP Valuation 2024 merupakan kerjasama MyIPO dengan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dengan tujuan memperkasa kemahiran penilaian harta intelek dalam kalangan profesional tempatan.
Seminar tersebut menyediakan platform untuk membincangkan amalan terbaik dalam penilaian harta intelek serta cara untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penilaian harta intelek dalam strategi pembangunan perniagaan.
Tambah Arifin, pengenalan dan pengiktirafan harta intelek sebagai aset yang bernilai juga bakal membuka jalan bagi syarikat tempatan untuk terus berkembang, bersaing di pasaran global dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
“Saya yakin jika harta intelek diterima sebagai cagaran, ia akan membuka peluang baru untuk pembiayaan serta menyokong lebih banyak usaha inovatif di Malaysia.
“Perubahan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan tetapi juga memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penggunaan harta intelek bagi tujuan pembangunan ekonomi,” katanya. – UTUSAN