KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah menyiapkan laporan kajian mengenai kartel padi dan beras.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, laporan tersebut tidak boleh didedahkan di dalam Dewan Rakyat sehingga diumumkan secara rasmi kelak.
“Ia sudah pun diselesaikan berkenaan dengan kartel padi dan beras. Kemungkinan (ia termasuk mengenai) penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih, import serta sebagainya,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Datuk Seri Dr. Shahidan bin Kasim (PN-Arau) yang memintanya menjelaskan sejauh mana tindakan kerajaan dalam menangani isu kartel.
Dalam pada itu, Fuziah berkata, peniaga-peniaga Menu Rahmah sudah boleh membeli di Jualan Rahmah untuk mendapatkan bekalan dan barangan masakan pada harga yang rendah.
Jelasnya, kad diskaun Menu Rahmah yang dikeluarkan kerajaan sebelum ini tidak dapat digunakan di beberapa pusat beli belah kerana kelainan sistem-sistem tertentu.
“Maka kita sudah mengatasi masalah tersebut dengan menawarkan kad diskaun Menu Rahmah ini kepada peniaga untuk mereka membeli di Jualan Rahmah. Sebelum ini, jualan tersebut tidak boleh membekalkan ia kepada peniaga.
“Tetapi melalui kad diskaun tersebut, mereka akan diberi kelonggaran untuk membeli barangan keperluan. Kalau dahulu hanya boleh beli ayam dua ekor, tetapi sekarang mungkin lebih,” katanya.